THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Wednesday, July 22, 2009

7 saranan untuk menanam tabiat membaca!

Seringkali kita berazam untuk membaca lebih banyak buku atau sekurang-kurangnya cuba menimbulkan minat membaca dalam diri sendiri, tetapi kecundang separuh jalan.
Berikut adalah beberapa panduan yang boleh dicuba, gabungan daripada panduan yang ditulis oleh Leo Babauta dan Kevin Eikenberry (dengan sedikit ubahsuai supaya kena dengan budaya dan persekitaran Malaysia).
1.

Tentukan masa. Anda harus menetapkan waktu khas beberapa kali dalam sehari untuk membaca selama 5-10 minit. Tidak kira apa sekalipun yang berlaku, anda harus membaca pada waktu tersebut. Misalnya, jadikan tabiat untuk membaca ketika bersarapan atau makan tengahari (mahupun makan malam) jika anda bersendirian. Kalau waktu ini ditambah dengan membaca semasa sedang duduk-duduk (di dalam bas, LRT atau teksi) atau membaca sebelum tidur, anda telah membaca 4 kali sehari selama 10 minit. Semuanya berjumlah 40 minit dan ini adalah satu permulaaan yang cukup baik untuk membina tabiat membaca!
2.

Sentiasa bawa buku bersama anda. Ke mana sahaja anda pergi, bawalah sebuah buku bersama-sama. Kata Babauta, ke mana sahaja dia pergi, dia akan membawa sekurang-kurangnya lesen memandu, kunci dan buku. Buku tersebut akan berada di dalam kereta bersama-samanya, dibawa masuk ke pejabat, dikelek semasa hadir temu janji dan hampir ke mana sahaja, kecuali apabila berkunjung ke tempat yang dia benar-benar pasti buku itu tidak akan dibelek (misalnya ketika menonton wayang). Jadi, apabila ada waktunya anda perlu menunggu, misalnya giliran berjumpa doktor atau giliran di kaunter jabatan awam untuk urusan tertentu, keluarkan buku dan nikmatilah ia.
3.

Tentukan sasaran dalam pembacaan. Tetapkan berapa lama anda mahu membaca dalam sehari atau berapa buah buku yang anda mahu baca dalam tempoh tertentu. Katakanlah sasaran anda sebuah buku sebulan, sebuah seminggu atau membaca hanya 30 minit sehari. Bermulalah dengan sesuatu yang boleh anda capai, tetapi masih memerlukan usaha anda untuk mencapainya. Apabila tabiat anda telah terbentuk, tentukan sasaran baharu yang lebih mencabar.
4.

Simpan sebuah log pembacaan. Log ini boleh membantu anda memantau perkembangan tabiat membaca. Cukup sekadar merekodkan buku yang anda baca atau masa yang anda gunakan untuk membaca dalam sehari, kemudian letakkannya di mana sahaja anda fikirkan sesuai. Anak Eikenberry menampal log pembacaannya pada pintu peti sejuk, manakala Eikenberry menampalkan lognya di komputer. Anda boleh juga memblog tentangnya di dalam talian. Tidak kira di mana anda meletakkannya, yang penting lakukannya!
5.

Simpan satu senarai buku. Buat satu senarai buku-buku yang ingin anda baca. Tanya sahabat atau rakan sekerja apa yang mereka baca. Perhatikan syor-syor tentang buku menarik dan terbaru di dalam majalah dan akhbar. Sebaik sahaja anda mula mencari tentang buku, anda akan menemuinya di mana-mana. Ini juga satu cara yang baik untuk meningkatkan semangat membaca. Dengan mengetahui buku apa yang menarik untuk dihadam, tabiat membaca anda akan semakin kukuh.
6.

Tutup televisyen anda. Ramai orang berkata mereka tidak punya cukup masa untuk membaca. Televisyen adalah punca kita menggunakan masa dengan boros (ya, kita boleh boros dengan masa yang sangat berharga). Jadikan tabiat menonton televisyen sesuatu yang lebih kita awasi dan kurangkan kekerapannya. Tidak salah menonton televisyen untuk perkara yang bermanfaat, tetapi masa yang banyak akan terbuang bagi mereka yang membuka televisyen untuk mencari sesuatu yang boleh ditonton. Ketika anda tersedar anda sedang membuka televisyen untuk tujuan tersebut, tutuplah televisyen dan ambil buku anda!
7.

Apabila keadaan tidak mengizinkan anda membaca, dengarlah buku itu. Gunakan masa anda dalam perjalanan contohnya semasa memandu di dalam kereta untuk mendengar buku. Terdapat versi audio bagi sesetengah buku terutamanya buku berbahasa Inggeris. Jangan hadkan hubungan anda dengan buku dalam erti kata membacanya, kerana mendengar buku juga boleh memberikan anda pengalaman, idea dan imaginasi yang boleh didapati daripada pembacaan.

No comments:

Post a Comment