THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Sunday, September 13, 2009

Membaca rangsangan kecemerlangan

Statistik akhir menunjukkan 84.68 peratus pelajar terbabit Program Nilam
ANTARA matlamat utama Pesta Buku Antarabangsa yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, sehingga 13 April ini, ialah menggalakkan orang ramai membeli dan membaca buku. Apakah usaha Kementerian Pelajaran untuk menggalakkan minat ini di kalangan pelajar.
Salah satu program utama galakan membaca dilaksanakan Kementerian Pelajaran ialah Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) yang diperkenalkan pada 1999.
Pelaksanaan Program Nilam ini dimulakan hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Gerakan Tabiat Membaca peringkat Kementerian Pelajaran pada 1998. Program ini dilaksanakan bermula dengan Tahun Satu bagi sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan bagi sekolah menengah di mana rekod pembacaan pelajar diteruskan sehingga mereka tamat persekolahan.
Program ini dibahagikan kepada dua tahap, iaitu Tahap Jauhari dan Tahap Rakan Pembaca. Tahap Jauhari ialah tahap di mana kita menggalakkan pelajar membaca sebanyak mungkin buku diminati dan kemudian dicatat dalam Buku Rekod Nilam.
Pada tahap kedua, iaitu Tahap Rakan Pembaca, pelajar yang banyak membaca digalakkan mengajak atau menggalakkan rakan mereka pula untuk membaca bersama dan berdiskusi mengenai sesebuah buku. Secara tidak langsung, lebih ramai pelajar akan terbabit dalam program ini.
Oleh Syuhada Choo Abdullah bersama Timbalan Pengarah (Pembangunan Teknologi Pendidikan) Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pelajaran, Dr Faridah Mohamed

Teknologi bunuh budaya membaca?

Bukan sesuatu yang luar biasa apabila minat membaca di kalangan generasi muda semakin merudum. Ada yang berkata kebanjiran teknologi moden seperti Internet, video dan televisyen menyebabkan remaja di seluruh dunia malas membaca. Peperangan di antara keperluan akademik dan kemasyarakatan menyebabkan wujud kecelaruan sehingga masyarakat seluruh dunia terutama generasi muda enggan menjadikan amalan membaca cara hidup.
Pakar pendidikan juga buntu mencari penyelesaian untuk merangsang masyarakat supaya minat membaca tetapi hasilnya masih mengecewakan. National Education Association (NEA) yang bertanggungjawab menjalankan pelbagai kajian terhadap kepentingan pendidikan di seluruh dunia, berpendapat 'peperangan' atau kecelaruan itu wajar dihentikan segera bagi memberi peluang masyarakat membina semula sistem budaya mereka. Menurutnya, jika semua pihak sentiasa berbalah, hasrat mencetuskan minat membaca akan gagal."Pelik apabila perbalahan itu terjadi kerana sesuatu punca yang baik. Sepatutnya ia mendapat sokongan bukannya semakin menambahkan konflik."Jurang yang pada mulanya kecil menjadi besar kerana masing- masing cuba menegakkan pendapat sedangkan membaca satu keperluan bukan paksaan."Perbalahan itu wajar dihentikan kerana ia akan 'membunuh' minat yang sudah atau baru tumbuh," katanya.
Kajian NEA mendapati hanya 17,000 kalangan dewasa berusia 18 tahun ke atas di Amerika Syarikat benar-benar minat membaca sepanjang tempoh 20 tahun sejak 1982. Itupun terhad kepada bahan seperti novel, cerita pendek dan sajak. Bahan ilmiah berbentuk serius dan berat kurang mendapat perhatian dan jatuh 28 peratus dalam tempoh itu. Kajian itu turut mendedahkan hanya 57 peratus penduduk di negara maju minat membaca. Baki yang tidak berminat terdiri daripada mereka yang tinggal di kawasan terpinggir, berpendapatan rendah dan sudah berusia.Kajian itu turut mendapati setiap tahun, kejatuhan sebanyak empat peratus di kalangan pembaca di negara maju dan senario itu semakin membimbangkan berikutan tiada peningkatan peratusan bagi pembaca baru. Pengerusi NEA, Dana Gioia, berkata sesiapa yang sukakan sastera atau menimbangkan nilai budaya dan intelektual pasti bimbang dengan situasi ini kerana bahan bacaan bercetak sudah tidak mendapat tempat di hati masyarakat. Menurutnya, kebanyakannya beralih kepada hobi menonton televisyen, Internet dan pelbagai permainan video berbanding membaca bahan bacaan bermutu walaupun untuk tempoh yang singkat."Ini natijahnya apabila teknologi mula menguasai dunia.Namun, menyalahkan teknologi bukan penyelesaian kerana kita perlu bersedia menerima perubahan dunia."Kita tidak boleh memaksa seseorang untuk suka membaca, ia harus datang sendiri dan ikhlas.
Ramai pihak keliru kerana beranggapan membaca sesuatu yang wajib dilakukan sedangkan tabiat itu bukan paksaan."Siapa, bagaimana bentuk bacaan atau tujuannya tidak penting sebaliknya kesedaran dan keinginan membaca itu perlu ditekankan," katanya."Transaksi ilmu bukan berlaku dalam tempoh yang lama.Justeru, jika tiada usaha untuk menambah pengetahuan, ia akan terhenti dan menyumbang kepada kegagalan."Kesannya, bukan saja ditanggung satu generasi malah berterusan melainkan ada perubahan kepada generasi berikutnya."Bayangkan apa yang bakal berlaku jika generasi berkenaan terus leka, tidak mahu menambah ilmu atau tiada ruang menambah pengetahuan," katanya.Kebimbangan itu turut melanda golongan cendekiawan terutama kecenderungan membaca bahan bacaan kurang bermutu. Profesor di
Bennington College and New York University, David Lehman, berkata masyarakat harus membuka minda dan melihat kepentingan membaca sebagai menu utama kehidupan. Menurutnya, tanpa bahan bacaan bermutu, budaya atau warisan sesebuah masyarakat akan terasing dan segala usaha termasuk pengajian ilmu di sekolah hanya membuang masa."Membaca dapat membantu seseorang melihat dunia dan kehidupan secara keseluruhan dan memahami keinginan masyarakat luar."Masyarakat tanpa mengira usia, latar belakang atau kedudukan perlu menggunakan peluang itu menambah pengetahuan dan meningkatkan harga diri," katanya.Bagi penyunting buku kanakkanak, Leonard Marcus, kaedah memupuk minat membaca perlu diubah kepada cara lebih menarik dan tidak membosankan."Ramai di kalangan pelajar menganggap membaca sesuatu yang membosankan kerana hanya tertumpu kepada konsep pemahaman, mengingati jalan cerita dan susunan ayat."Bagi golongan muda, mereka mahu bahan bacaan bertenaga, penuh ilustrasi dan mampu memberi kepuasan."Bagi mempertingkatkan minat golongan dewasa, anjakan sama perlu dilakukan kerana bacaan sarat dan berbelit kini kurang mendapat perhatian," katanya.

RUHAIZA RUSMIN

Sumber:
http://hmetro.com.my

Friday, August 7, 2009

Disebalik perkataan "BACA"

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga,
:BACA:

ruang~bilik tempat membaca
:MEMBACA:

memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya
:MEMBACAI:

membaca berkali-kali;mempelajari
:MEMBACAKAN:

membaca untuk seseorang
:TERBACA:

membaca secara kebetulan
:KETERBACAAN:

darjah betapa senang atau sukarnya memahami sesebuah teks
:BACAAN:

bahan untuk dibaca atau cara membaca
:PEMBACAAN:

perbuatan membaca
:PEMBACA:

orang yang membaca
Konklusinya,
Wahai pembaca-pembaca yang dihormati, marilah kita bersama-sama membaca bahan-bahan bacaan berguna untuk menimba ilmu!

Sunday, July 26, 2009

Teknik Membaca SQ3R

SQ3R ialah teknik membaca kritis yang telah diperkenalkan oleh Robinson (1961). Ia merupakan satu kaedah membaca yang memerlukan seseorang mempersoal kesesuaian maklumat yang terdapat dalam suatu bahan yang dibaca dengan tugasan yang perlu diselesaikan.
SQ3R adalah singkatan bagi;
S (survey) tinjau
Q (question) soal/tanya
R (read) baca
R (recite) imbas kembali atau nyatakan secara lisan
R (review) baca semula

Wednesday, July 22, 2009

Teknik Membaca

Teknik Membaca KWLH
KWLH adalah singkatan bagi yang berikut;
K (know)
Apa yang telah diketahui (sebelum membaca)
W (want)
Apa yang hendak diketahui (sebelum membaca)
L (learned)
Apa yang telah diketahui (selepas membaca)
H (how)
Bagaimana untuk mendapat maklumat tambahan - yang berkaitan (untuk membaca seterusnya)

7 saranan untuk menanam tabiat membaca!

Seringkali kita berazam untuk membaca lebih banyak buku atau sekurang-kurangnya cuba menimbulkan minat membaca dalam diri sendiri, tetapi kecundang separuh jalan.
Berikut adalah beberapa panduan yang boleh dicuba, gabungan daripada panduan yang ditulis oleh Leo Babauta dan Kevin Eikenberry (dengan sedikit ubahsuai supaya kena dengan budaya dan persekitaran Malaysia).
1.

Tentukan masa. Anda harus menetapkan waktu khas beberapa kali dalam sehari untuk membaca selama 5-10 minit. Tidak kira apa sekalipun yang berlaku, anda harus membaca pada waktu tersebut. Misalnya, jadikan tabiat untuk membaca ketika bersarapan atau makan tengahari (mahupun makan malam) jika anda bersendirian. Kalau waktu ini ditambah dengan membaca semasa sedang duduk-duduk (di dalam bas, LRT atau teksi) atau membaca sebelum tidur, anda telah membaca 4 kali sehari selama 10 minit. Semuanya berjumlah 40 minit dan ini adalah satu permulaaan yang cukup baik untuk membina tabiat membaca!
2.

Sentiasa bawa buku bersama anda. Ke mana sahaja anda pergi, bawalah sebuah buku bersama-sama. Kata Babauta, ke mana sahaja dia pergi, dia akan membawa sekurang-kurangnya lesen memandu, kunci dan buku. Buku tersebut akan berada di dalam kereta bersama-samanya, dibawa masuk ke pejabat, dikelek semasa hadir temu janji dan hampir ke mana sahaja, kecuali apabila berkunjung ke tempat yang dia benar-benar pasti buku itu tidak akan dibelek (misalnya ketika menonton wayang). Jadi, apabila ada waktunya anda perlu menunggu, misalnya giliran berjumpa doktor atau giliran di kaunter jabatan awam untuk urusan tertentu, keluarkan buku dan nikmatilah ia.
3.

Tentukan sasaran dalam pembacaan. Tetapkan berapa lama anda mahu membaca dalam sehari atau berapa buah buku yang anda mahu baca dalam tempoh tertentu. Katakanlah sasaran anda sebuah buku sebulan, sebuah seminggu atau membaca hanya 30 minit sehari. Bermulalah dengan sesuatu yang boleh anda capai, tetapi masih memerlukan usaha anda untuk mencapainya. Apabila tabiat anda telah terbentuk, tentukan sasaran baharu yang lebih mencabar.
4.

Simpan sebuah log pembacaan. Log ini boleh membantu anda memantau perkembangan tabiat membaca. Cukup sekadar merekodkan buku yang anda baca atau masa yang anda gunakan untuk membaca dalam sehari, kemudian letakkannya di mana sahaja anda fikirkan sesuai. Anak Eikenberry menampal log pembacaannya pada pintu peti sejuk, manakala Eikenberry menampalkan lognya di komputer. Anda boleh juga memblog tentangnya di dalam talian. Tidak kira di mana anda meletakkannya, yang penting lakukannya!
5.

Simpan satu senarai buku. Buat satu senarai buku-buku yang ingin anda baca. Tanya sahabat atau rakan sekerja apa yang mereka baca. Perhatikan syor-syor tentang buku menarik dan terbaru di dalam majalah dan akhbar. Sebaik sahaja anda mula mencari tentang buku, anda akan menemuinya di mana-mana. Ini juga satu cara yang baik untuk meningkatkan semangat membaca. Dengan mengetahui buku apa yang menarik untuk dihadam, tabiat membaca anda akan semakin kukuh.
6.

Tutup televisyen anda. Ramai orang berkata mereka tidak punya cukup masa untuk membaca. Televisyen adalah punca kita menggunakan masa dengan boros (ya, kita boleh boros dengan masa yang sangat berharga). Jadikan tabiat menonton televisyen sesuatu yang lebih kita awasi dan kurangkan kekerapannya. Tidak salah menonton televisyen untuk perkara yang bermanfaat, tetapi masa yang banyak akan terbuang bagi mereka yang membuka televisyen untuk mencari sesuatu yang boleh ditonton. Ketika anda tersedar anda sedang membuka televisyen untuk tujuan tersebut, tutuplah televisyen dan ambil buku anda!
7.

Apabila keadaan tidak mengizinkan anda membaca, dengarlah buku itu. Gunakan masa anda dalam perjalanan contohnya semasa memandu di dalam kereta untuk mendengar buku. Terdapat versi audio bagi sesetengah buku terutamanya buku berbahasa Inggeris. Jangan hadkan hubungan anda dengan buku dalam erti kata membacanya, kerana mendengar buku juga boleh memberikan anda pengalaman, idea dan imaginasi yang boleh didapati daripada pembacaan.